KUALA LUMPUR – Meskipun Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah dinamakan Pas sebagai calon Perdana Menteri (PM), namun banyak pihak lupa Muktamar Tahunan Pas ke-71 meluluskan usul supaya parti Islam itu memimpin Perikatan Nasional (PN).
Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar A Samad berkata, apabila parti Islam itu menawarkan jawatan Pengerusi PN baharu kepada Ahmad Samsuri, secara tidak langsung mereka juga mahu pemimpin yang sama menerajui pentadbiran negara.
“Ada pihak yang mempertikaikan harapan rakyat agar Ahmad Samsuri menjadi PM selepas pilihan raya umum akan datang. Alasannya, Pas tidak pernah menamakan beliau secara rasmi sebagai calon PM.
“Seorang pemimpin politik juga cuba membandingkan keadaan ini dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang pernah dicalonkan secara terbuka oleh partinya sebagai calon PM.
“Namun beliau mungkin terlupa bahawa Muktamar Pas tahun lalu telah meluluskan usul supaya Pas memimpin PN. Apabila Pas berhasrat memimpin PN, sudah tentu secara logiknya Pas mahu calon PM itu juga daripada Pas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membidas kenyataan Ahmad Samsuri yang mengatakan Muhyiddin bukan lagi calon PM.
Tun Faisal Ismail sebaliknya berkata, Muhyiddin adalah calon PM bagi Bersatu sehingga kini selepas ia diputuskan melalui Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu, September tahun lalu.
Iskandar juga berkata, pendekatan Pas itu sesuai dengan budaya politik Melayu yang menjunjung kesopanan dan kesusilaan di mana nama calon mereka tidak dilaungkan secara terbuka.
“Namun hasrat rakyat tidak dapat dibendung, mereka yang menamakan Pengerusi baharu PN itu sebagai calon PM.
“Dengan Pas sebagai parti paling stabil di dalam gabungan tersebut, rakyat semakin memahami siapa tokoh yang paling layak memimpin negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















