Aaron Chia-Soh Wooi Yik (gambar atas) dan Pearly Tan-M Thinaah.

KUALA LUMPUR – Dua beregu negara meneruskan obor negara di pentas Kejohanan Badminton Seluruh England 2026 selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir yang akan berlangsung hari ini.

Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik lebih awal menempah slot ke separuh selepas menewaskan rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir yang berlangsung di Birmingham semalam.

Pasangan ranking kedua dunia itu bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah apabila memerlukan masa 61 minit untuk mencatat kemenangan 21-16, 20-22, 21-14.

Kemenangan itu bakal mempertemukan Aaron-Wooi Yik dengan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi pada perlawanan separuh akhir yang dijadualkan lewat pagi esok.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia pada 2022 itu pernah dua kali muncul naib juara Seluruh England pada edisi 2019 dan 2024.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik kemudiannya disusuli kemenangan bergaya beregu utama wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah yang turut melangkah ke peringkat separuh akhir apabila menewaskan pasangan Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Meilysa Trias Puspitasari.

Pearly-Thinaah yang merupakan gandingan ranking kedua dunia itu berjaya menang dua set langsung dengan mata 21-9, 21-18 dalam tempoh 43 minit.

Kejayaan mereka sekali gus mengakhiri penantian 19 tahun negara untuk menyaksikan beregu wanita beraksi di peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England, selain memperbaiki rekod peribadi berbanding kejohanan tahun lepas selepas tersungkur di peringkat suku akhir.

Bagaimanapun, menanti Pearly-Thinaah di peringkat separuh akhir yang akan berlangsung malam ini adalah satu lagi pasangan dengan ranking terbaik dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast