KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa, dijadual bermula di Mahkamah Tinggi di sini esok.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu juga berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM200 juta antaranya daripada Bukhary Equity Sdn Bhd.
Perbicaraan didengar di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin bermula esok hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan bersambung pada 17 hingga 21 dan 26 serta 27 Ogos.
Antara individu berprofil tinggi yang akan memberi keterangan sebagai saksi penting pendakwaan ialah bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pada prosiding pengurusan kes 23 Februari lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan senarai dan pernyataan saksi telah diserahkan kepada pembelaan.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh mengesahkan telah menerima pernyataan saksi-saksi.
Bagaimanapun beliau berkata, pembelaan belum menerima pernyataan saksi membabitkan ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Pada 10 Mac 2023, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu berkaitan projek Jana Wibawa.
Suapan itu didakwa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff, bagi parti berkenaan.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin juga berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Sentral antara 25 Februari dan 16 Julai 2021 serta antara 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac pula, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan selaku Presiden Bersatu, menerima hasil AMLA iaitu wang RM5 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank, milik parti. – MalaysiaGazette
















