KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru individu-individu yang pernah meninggalkan parti itu agar kembali menyertai parti tersebut demi memperkukuh perpaduan dan perjuangan bangsa Melayu.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa berkata, seruan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membuka ruang kepada bekas ahli-ahli kembali ke pangkuan parti itu wajar disambut dengan sikap terbuka oleh semua pihak.
Menurutnya, UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya menjadi benteng utama dalam memastikan kelangsungan dan kemajuan bangsa Melayu.
Kata beliau, sejak penubuhannya, UMNO berperanan sebagai wadah yang melindungi, memajukan dan menyatukan orang Melayu.
Malah, UMNO adalah ‘Rumah Besar’ yang didirikan untuk melindungi dan memajukan bangsa dan parti ini bukan milik sesiapa secara peribadi, sebaliknya rumah untuk seluruh bangsa Melayu.
Bahkan, beliau menyifatkan ‘rumah’ ini telah lama menyediakan bumbung dan ruang untuk bangsa Melayu berteduh, berkehidupan dan membangun persaingan.
Khaled berkata, dalam sebuah keluarga besar, sudah tentu perselisihan dan kekhilafan adalah sesuatu yang lumrah.
“Bumi mana tidak ditumpahi hujan, langit mana yang tidak menyaksikan mega mendung berarak. Namun, perselisihan tersebut tidak seharusnya menjadikan rumah ini dimusuhi. Di persadanya kita semua pernah membesar, terdidik dan mendapat perlindungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sekalipun UMNO diganti dengan rumah yang lain, ia tidak akan setanding, apatah lagi lebih baik kerana hubungan UMNO dengan orang Melayu terlalu mendalam, bagai air yang dicincang tidak akan putus.
“UMNO juga merupakan pelantar yang menghubungkan sebuah penjajahan dengan sebuah kemerdekaan. Ia mengangkat sebuah bangsa daripada kemiskinan kepada bangsa yang sejahtera serta memuliakan Islam sebagai sebuah agama berkemajuan.
“Dalam segala kebaikan dan kekurangannya, UMNO tetap menjadi benteng yang melindungi serta memelihara maruah bangsa,” tambahnya.
Lantaran itu, beliau menyeru semua yang pernah bersama UMNO agar kembali ke pangkuan parti.
“Rumah ini masih kukuh, bayunya masih seperti dahulu, dan hujan rintik terus dihias pelangi jua. Kami yang tertinggal masih merindui semua kenangan dahulu sebagai sebuah keluarga,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















