BUKIT MERTAJAM – Seorang pekerja kilang yang sebelum ini direman empat hari bagi membantu siasatan kes khianat terhadap harta benda dan ugutan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth, dibebaskan malam ini selepas tempoh remannya disemak semula oleh mahkamah.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada pagi tadi membenarkan perintah reman selama empat hari terhadap lelaki berusia 20 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, peguam yang mewakili suspek, C. Hari Prassaad Rao memaklumkan perintah reman terhadap lelaki itu dipanggil semula sekali gus reman terdahulu diketepikan.
“Mahkamah telah membenarkan permohonan reman itu dipanggil semula sebelum memutuskan tempoh reman satu hari sahaja buat anak guam saya.
“Susulan keputusan itu, anak guam saya telah dibebaskan kira-kira jam 7.30 malam tadi dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
“Anak guam saya juga telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dijalankan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Pekerja kilang direman 4 hari bantu siasatan serang Zamri Vinoth
Terdahulu, lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan selepas tular satu rakaman video memaparkan motosikal miliknya digunakan dalam kejadian serangan terhadap Zamri kira-kira jam 3 petang di tepi jalan di Taman Aston Acacia di sini, semalam.
















