PEMBAZIRAN makanan ketika bulan Ramadan di Malaysia merupakan satu isu yang semakin membimbangkan. Walaupun Ramadan adalah bulan yang menekankan nilai kesederhanaan dan kesyukuran, realiti yang berlaku menunjukkan sebaliknya apabila berlaku peningkatan ketara dalam jumlah makanan yang dibuang. Fenomena ini bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi isi rumah, malah turut menjejaskan alam
sekitar dan mencerminkan sikap masyarakat terhadap nilai makanan.
Menurut laporan oleh Alam Flora, peningkatan sisa pepejal sepanjang Ramadan amat ketara khususnya di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur. Sebagai contoh, jumlah sampah yang dihantar ke tapak pelupusan meningkat kepada sekitar 2,800 tan sehari berbanding hanya 2,500 tan pada hari biasa.
Peningkatan ini jelas menunjukkan bahawa Ramadan menyumbang kepada lonjakan sisa terutamanya sisa makanan.
Alam Flora turut melaporkan bahawa sebanyak 66% daripada sisa makanan tersebut sebenarnya boleh dielakkan jika masyarakat mengamalkan perancangan pembelian dan penyimpanan makanan yang lebih baik.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada pembaziran makanan ialah budaya membeli secara berlebihan ketika berbuka puasa. Setelah seharian menahan lapar dan dahaga, pengguna cenderung membeli pelbagai jenis makanan tanpa perancangan yang teliti. Akibatnya, makanan yang dibeli tidak habis dimakan dan akhirnya dibuang.
Dalam konteks ini, bazar Ramadan menjadi lokasi utama berlakunya pembaziran kerana kepelbagaian juadah yang ditawarkan mendorong pembelian impulsif. Menurut laporan Alam Flora, lebihan makanan yang tidak terjual di bazar turut menjadi punca utama peningkatan sisa pepejal .
Selain itu, faktor sosial seperti budaya berbuka secara bufet dan penganjuran majlis berbuka puasa juga menyumbang kepada pembaziran. Makanan sering disediakan dalam kuantiti yang banyak bertujuan memastikan kecukupan, namun terdapat lebihan makanan yang akhirnya tidak dimanfaatkan.
Dari perspektif bandar, menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), terdapat peningkatan ketara dalam jumlah sisa pepejal sepanjang Ramadan. Pada tahun 2024, Kuala Lumpur merekodkan lebih 55,000 tan sisa pepejal sepanjang bulan tersebut.
Angka ini menggambarkan skala sebenar pembaziran yang berlaku dalam tempoh yang singkat. DBKL juga menekankan pembaziran makanan merupakan antara komponen utama dalam peningkatan sisa ini terutamanya hasil daripada lebihan makanan di bazar Ramadan dan aktiviti berbuka secara besar-besaran.
Justeru itu, DBKL telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti kempen sifar sisa bagi mengurangkan pembaziran makanan dan menggalakkan amalan penggunaan bahan biodegradasi. Usaha ini merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang bandar raya untuk mencapai pengurangan sisa ke tapak pelupusan sehingga 60% menjelang tahun 2040. Inisiatif ini menunjukkan pihak berkuasa tempatan mengambil maklum tentang hal pembaziran makanan sebagai isu serius yang memerlukan pendekatan sistematik dan berterusan.
Dari sudut ekonomi, pembaziran makanan membawa kepada kerugian yang besar. Wang yang dibelanjakan untuk makanan yang akhirnya dibuang merupakan satu bentuk pembaziran sumber yang tidak produktif. Dalam skala yang lebih luas, kos pengurusan sisa pepejal juga meningkat dan perlu ditanggung oleh pihak berkuasa tempatan seperti DBKL. Ini termasuk kos pengangkutan, pelupusan dan pengurusan tapak pelupusan yang semakin meningkat akibat pertambahan jumlah sisa.
Kesan pembaziran makanan juga sangat signifikan terhadap alam sekitar. Sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan akan mereput dan menghasilkan gas metana iaitu gas rumah hijau yang menyumbang kepada perubahan iklim. Oleh itu, peningkatan sisa makanan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi kesan kepada sistem pengurusan sisa tetapi juga kepada keseimbangan ekologi.
Walau bagaimanapun, terdapat usaha berterusan daripada pelbagai pihak untuk menangani isu ini. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Alam Flora telah bekerjasama dalam pelaksanaan kempen Zero Waste iaitu bawa bekas sendiri dan asingkan sisa makanan anda ketika pergi ke bazar Ramadan. Selain itu, program penyelamatan makanan oleh organisasi bukan kerajaan turut membantu mengurangkan pembaziran dengan mengagihkan lebihan makanan kepada golongan
yang memerlukan.
Kesimpulannya, pembaziran makanan ketika bulan Ramadan di Malaysia merupakan satu isu yang serius dan memerlukan perhatian menyeluruh. Data daripada Alam Flora dan DBKL jelas menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah sisa makanan sepanjang tempoh ini. Oleh itu, perubahan sikap masyarakat amat diperlukan, khususnya dalam aspek perancangan pembelian dan pengambilan makanan secara sederhana. Dengan kerjasama semua pihak termasuk individu, peniaga dan agensi kerajaan, masalah pembaziran makanan dapat dikurangkan demi kesejahteraan ekonomi dan kelestarian alam sekitar negara.
Oleh: Rasfan Abu Bakar merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan.
















