Mohamad Shafiq Abdul Halim
Mohamad Shafiq Abdul Halim

KUALA LUMPUR — Keputusan Tamim Dahri menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencetuskan gelombang baharu apabila bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim, bertindak menarik diri daripada Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH).

Shafiq dalam kenyataan hari ini mengakui menerima maklumat mengenai penyertaan Tamim ke dalam PKR, sekali gus menyifatkan perkembangan itu berpotensi mengubah persepsi umum terhadap gerakan tersebut.

“Saya baru mendapat maklumat Tamim Dahri menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). Sebagai figura di sebalik Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) saya merasakan ia memberi gambaran GARAH bersama dengan PKR.

“Oleh itu, sebagai seorang yang memang anti kepada fahaman kiri saya menarik diri dari terlibat bersama GARAH,” katanya.

Minggu lalu, Tamim yang sebelum ini lantang membangkitkan isu pencerobohan tanah serta rumah anutan haram dilaporkan memohon menyertai PKR.

Shafiq berpandangan, walaupun GARAH bergerak atas platform isu masyarakat, penyertaan tokoh utamanya ke parti politik tertentu boleh menimbulkan tafsiran bahawa gerakan itu tidak lagi bersifat bebas.

Untuk rekod, GARAH sebelum ini mencuri perhatian apabila menganjurkan himpunan pada Februari lalu yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Polis Diraja Malaysia menahan beberapa individu antaranya Zamri Vinoth selepas berlaku ketegangan dan provokasi berhampiran kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast