Foto: AKPS Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) mengesan sebanyak 21 kontena yang mengandungi sisa elektronik (e-waste) seberat 483,907 kilogram (kg) dalam pemeriksaan menerusi Op Green Shield 17 di Pelabuhan Klang, hari ini.

Pemeriksaan itu diketuai Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), SIRIM dan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK).

Menurut Nik Ezanee, operasi membabitkan seramai 20 anggota itu bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi memastikan kandungannya mematuhi peraturan serta tidak melibatkan bahan terlarang.

“Pemeriksaan dilakukan ke atas 54 kontena dengan 21 kontena didapati mengandungi sisa elektronik, manakala 19 kontena lagi berisi campuran waste dan scrap yang tidak mematuhi syarat import dan diserahkan kepada SIRIM untuk tindakan lanjut.

“Selain itu, 11 kontena didapati mengandungi bahan buangan terjadual mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, Nik Ezanee menambah, sejak dilancarkan, Op Green Shield 1 hingga Op Green Shield 17 merekodkan sebanyak 3,328.36 tan e-waste (3,328,365 kilogram) dikesan dengan 163 kontena dikenal pasti mengandungi sisa elektronik.

Jelasnya, operasi berkenaan dilaksanakan sebagai langkah penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti pengimportan sisa elektronik secara tidak sah ke negara ini.

Tambah beliau, kontena e-waste yang dikesan akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS bagi tujuan pengeksportan semula (re-export).

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara termasuk menjalankan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast