PUTRAJAYA – Seramai 70,000 petugas institusi masjid dan pendidikan agama termasuk imam, bilal, tok siak, noja, marbot, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta takmir akan menerima bantuan khas sebanyak RM500 yang akan disalurkan pada 13 Mac ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, bantuan berkenaan diberikan sebagai penghargaan kerajaan terhadap sumbangan golongan terbabit yang memainkan peranan penting dalam memakmurkan institusi masjid serta memperkukuh pendidikan agama di negara ini.
“Bagaimana pula kepada imam, bilal, tok siak, noja, marbot, guru KAFA dan takmir? Seramai 70,000 orang semuanya kita juga salurkan bantuan khas sebanyak RM500 melalui pembayaran pada 13 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif kebajikan melibatkan penjawat serta petugas institusi agama di negara ini di sini hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan sentiasa menghargai peranan golongan berkenaan yang menjadi tulang belakang dalam memastikan aktiviti keagamaan dan pendidikan Islam terus berjalan dengan baik di peringkat komuniti.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 diawalkan esok bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut bulan Ramadan dan sambutan perayaan Aidilfitri.
Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion kepada kira-kira lima juta penerima.
Menurutnya, bayaran STR Fasa 2 yang sebelum ini dijadualkan pada April diawalkan sebagai langkah kerajaan memastikan bantuan kewangan dapat dinikmati lebih awal oleh penerima.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan bayaran STR 2026 Fasa 2 dijadualkan dikreditkan secara berperingkat ke akaun bank penerima mulai April 2026.
Jumlah bayaran adalah sehingga RM650, bergantung pada kategori isi rumah, warga emas, atau bujang. – MalaysiaGazette
















