Hayl Haarith Mohd Syafaeez

SEBERANG JAYA – Seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa penderaan di sebuah taska dalam pekarangan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, hari ini.

Mangsa, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, dikejarkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia meskipun doktor dilaporkan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kira-kira sejam.

Bapa saudara mangsa, Ahmad Lutfihadi Wahab, 31, berkata, keluarganya dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas ibu bayi berkenaan menerima panggilan daripada pihak taska.

Ahmad Lutfihadi.

“Saya menerima panggilan daripada adik saya (ibu mangsa) yang sedang kerja syif malam di HSJ memaklumkan keadaan anak saudara saya selepas doktor melakukan CPR kira-kira satu jam.

“Selepas itu, saya mendapatkan kebenaran untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di taska berkenaan sebelum mendapati wujud unsur jenayah termasuk penderaan terhadap anak saudara saya.

“Rakaman CCTV itu menimbulkan kemarahan dan kesedihan yang mendalam kepada keluarga kami dan susulan itu saya membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSJ di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Lutfihadi berkata, bayi berkenaan dihantar ke taska itu sejak kira-kira tiga hingga empat bulan lalu selepas ibunya, Ummu Habibah Wahab, 30, kembali bekerja selepas tamat tempoh berpantang.

Katanya, keluarganya memilih taska berkenaan kerana lokasinya berada dalam kawasan hospital serta berhampiran rumah mereka.

Ibu mangsa (baju hitam, tudung bunga) ditenangkan rakan-rakannya di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya.

“Kami fikir ia selamat kerana berada dalam kawasan hospital. Kami tidak sangka perkara seperti ini berlaku kepada keluarga kami.

“Sebelum ini kami ada dengar dakwaan daripada ibu bapa lain mengenai kejadian kanak-kanak ditampar di taska tersebut tapi saya sendiri sering menghantar dan mengambil Hayl Haarith tapi tiada sebarang kecederaan ke atasnya.

“Keluarga kami masih sukar menerima kehilangan Hayl Haarith dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya. Ini melibatkan kematian dan mereka tidak boleh terlepas begitu sahaja,” katanya.

Tambah beliau, Hayl Haarith akan dikebumikan di Terengganu berhampiran pusara nenek mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast