BATU PAHAT- Sektor perladangan dan komoditi negara yang menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi Malaysia tidak akan mencapai kejayaan seperti hari ini tanpa usaha gigih serta pengorbanan para pekebun kecil di seluruh negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengakui golongan itu memainkan peranan besar dalam memastikan sektor agrikomoditi terus berkembang serta memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi negara.
“Kejayaan sektor berkenaan banyak bergantung kepada kerja keras pekebun kecil yang bertungkus-lumus mengusahakan kebun mereka setiap hari.
“Sektor perladangan dan komoditi negara yang menyumbang berbilion ringgit kepada ekonomi negara adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan terutamanya daripada para pekebun kecil yang bekerja keras setiap hari.
“Kemungkinan kita tidak akan mencapai apa yang kita kecapi setakat ini tanpa usaha mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Katerina di sini malam tadi.
Selain itu, Noraini berkata, sektor agrikomoditi terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara apabila menyumbang sebanyak RM66.1 bilion atau 5.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga September 2025.
Beliau berkata, bagi tempoh Januari hingga November 2025 pula, sektor tersebut mencatat sumbangan sebanyak RM180.2 bilion atau 12.4 peratus kepada jumlah keseluruhan eksport negara.
“Kerajaan sedar akan isu semasa seperti penyakit tanaman dan ketidaktentuan harga yang boleh menjejaskan pendapatan sektor ini, terutamanya dalam kalangan pekebun kecil.
“Mengambil kira perkara ini, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengadakan pelbagai sesi libat urus bersama pihak berkepentingan dan kini sedang melaksanakan Kajian Separuh Penggal Dasar Agrikomoditi Negara 2021–2030,” katanya.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Noraini melawat booth dalamMajlis Berbuka Puasa Bersama Menteri Perladangan dan Komoditi di Hotel Katerina, Batu Pahat, malam tadi.















