Bangunan Bursa Malaysia. Foto MOHD ADZLAN, 08 APRIL 2024.

 

KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia apabila mencatatkan aliran masuk sebanyak RM411.4 juta, sekali gus menamatkan dua minggu berturut-turut aktiviti jualan bersih.

Sepanjang minggu dagangan berkenaan, pelabur asing menjadi pembeli bersih pada empat daripada lima hari dagangan.

MBSB Research berkata, aliran masuk terbesar direkodkan pada Isnin sebanyak RM271.1 juta, diikuti Jumaat (RM192.3 juta), Khamis (RM158.6 juta) dan Selasa (RM13.1 juta).

Bagaimanapun, aliran keluar bersih dicatatkan pada Rabu sebanyak RM223.7 juta.

Menurutnya, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk bersih pelabur asing ialah pengangkutan & logistik sebanyak RM207.3 juta, diikuti penjagaan kesihatan (RM183 juta) serta produk & perkhidmatan perindustrian (RM180 juta).

Sebaliknya, sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih tertinggi ialah telekomunikasi & media sebanyak RM88.5 juta, diikuti perladangan (RM87.8 juta) dan hartanah (RM62 juta).

Firma penyelidikan ini berkata, pelabur institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih RM408.3 juta, sekali gus melanjutkan trend jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan pula kembali menjadi penjual bersih selepas dua minggu mencatat pembelian bersih, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM3.1 juta.

Dari segi aktiviti dagangan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menunjukkan peningkatan menyeluruh dalam kalangan pelabur tempatan, dengan runcit tempatan meningkat 18.9 peratus dan institusi tempatan 18.3 peratus.

Namun, aktiviti pelabur asing menurun 14.6 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast