GEORGE TOWN – Polis merampas kira-kira 29.5 kilogram (kg) dadah jenis syabu dan 12.5 kg pil Erimin-5 bernilai RM2.7 juta dalam serbuan di daerah Seberang Perai Utara pada 5 dan 6 Mac lalu.
Serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang itu turut membawa kepada tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan bermula dengan penahanan suspek di kawasan tempat parkir kenderaan sebelum menjumpai sejumlah dadah dan kunci kereta di dalam begnya.
“Berpandukan kunci kereta yang dirampas, polis memeriksa sebuah kereta dan menjumpai 28 bungkus plastik berisi 29.4 kg syabu.
“Hasil pandu arah suspek di kawasan sama, polis memeriksa sebuah kereta lain dan menjumpai 4,000 keping aluminium foil berisi pil Erimin-5 seberat 12.5 kg.
“Siasatan juga mendapati suspek bertindak sebagai ‘runner’ yang bergiat aktif sejak Januari lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, suspek direman bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















