PUTRAJAYA – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima akan mula dikreditkan secara berperingkat bermula 10 Mac ini.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembayaran yang diawalkan itu bertujuan membantu rakyat membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menurutnya, jumlah penerima bagi Fasa 2 meningkat kepada 5.2 juta berbanding lima juta pada Fasa 1 yang dibayar pada Januari lalu.

Bagi Fasa 2, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM1.1 bilion pada Fasa 1.

“Peluasan penerima ini membolehkan lebih ramai rakyat menikmati manfaat bantuan sosial kerajaan, khususnya ketika negara menghampiri perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Pembayaran tersebut melibatkan 3.8 juta isi rumah serta 1.4 juta warga emas tiada pasangan dengan kadar bayaran antara RM100 hingga RM600 mengikut kategori kelayakan.

Secara keseluruhan, peruntukan STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun 2026 berjumlah RM15 bilion.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai STR melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast