Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan menyaksikan pertukaran MOU antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz ketika di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

SUNGAI BULOH – Seramai 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disasarkan bakal menerima penempatan pekerjaan sehingga 2030 menerusi Program LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Wira.

Sasaran itu digerakkan melalui kerjasama strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, gabungan kolaborasi PERHEBAT, JHEV ATM dan PERKESO itu berupaya membangunkan ekosistem bersepadu bagi menghubungkan veteran secara lebih strategik menerusi pemetaan pekerjaan berdasarkan lokaliti veteran dan industri.

Skop kerjasama yang dimeterai memberi penekanan kepada padanan pekerjaan, perkongsian data veteran, integrasi Veteran Integrated Benefit System (VIBES) dan MYFutureJobs serta perlindungan sosial yang bakal memanfaatkan kumpulan sasar terutamanya dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

“Usaha ini wajar agar veteran di seluruh pelosok Malaysia dapat merasai nikmat pekerjaan yang bermaruah dan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar besar sahaja

“Inisiatif ini sejajar dengan matlamat MINDEF menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dan Pelan Transformasi PERHEBAT 2026 – 2035 yang memberi keutamaan untuk memperkasa laluan kerjaya kedua perwira negara dipacu sektor awam dan swasta,” katanya di Kompleks PERHEBAT di sini hari ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Pemerteraian Dan Pertukaran MOU PERKESO bersama PERHEBAT dan JHEV di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan peralihan kerjaya perwira negara dilaksanakan secara lebih strategik yang turut disaksikan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

Pemeteraian dokumen MoU diadakan antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Sementara itu, Ramanan menjelaskan, kementeriannya komited memastikan kadar penempatan minimum sebanyak 45 peratus dapat dicapai bagi setiap intervensi yang dijalankan sepanjang tahun 2026.

“Saya tegaskan matlamat kita bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan tetapi memastikan veteran ATM memperoleh pendapatan bermaruah setaraf kepakaran serta disiplin tinggi yang mereka miliki.

“Pengambilan mereka bukan sahaja membekalkan industri dengan tenaga kerja kompeten, malah merupakan langkah strategik negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing,” katanya.

Berdasarkan perangkaan rasmi bagi tempoh 2020 hingga 2025, Ramanan menjelaskan, seramai 5,530 veteran berjaya ditempatkan dalam pelbagai sektor pekerjaan.

Sepanjang 2025, seramai 573 veteran memulakan kerjaya baharu dengan sektor pembuatan menjadi majikan tertinggi yang memberi penempatan, diikuti sektor
perkhidmatan dan teknikal.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (lima kiri) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan (tiga kanan) bergambar bersama Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki (kiri), Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz (kanan) selepas sesi Pemerteraian Dan Pertukaran MOU PERKESO bersama PERHEBAT dan JHEV di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

“Menerusi kolaborasi strategik ini, enam inisiatif utama digerakkan bagi merealisasikan sasaran 2,500 pendaftaran dengan penempatan melebihi 1,000 veteran.

“Usaha ini merangkumi pengesahan identiti veteran secara rasmi oleh JHEV dan PERHEBAT bagi membolehkan akses eksklusif kepada peluang pekerjaan, di samping integrasi data antara portal MYFutureJobs dan VIBES bagi memperkukuh ketepatan pemadanan kerjaya.

“Pendaftaran veteran di portal MYFutureJobs mencecah lebih 14,000 individu, sekali gus membuktikan kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan transisi kerjaya yang tersusun,” katanya.

Sebagai permulaan kepada kerjasama ini, seramai 14 majikan strategik hadir dalam sesi temu duga terbuka yang diadakan serentak dengan majlis tersebut.

Untuk rekod, Pelan Transformasi PERHEBAT mencatatkan momentum bulanan yang memberangsangkan setakat Januari lalu.

Sebanyak 259 peluang pekerjaan dan penempatan industri telah ditawarkan, dan 121 veteran berjaya mendapat pekerjaan dengan skala gaji RM2,500 hingga RM5,000 dalam sektor aeroangkasa dan pengangkutan.

Ia dicapai hasil kerjasama PERHEBAT dengan 69 industri strategik dalam pelbagai sektor. Pelan jangka panjang 10 tahun dirangka khusus untuk membangunkan bakal pesara dan veteran sebagai penggerak ekonomi dan tenaga kerja berkualiti tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast