AMPANG –Daging kerbau import dari India, sawi hujau, bawang merah antara 27 barangan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan SHMMP akan dikuatkuasakan selama 15 hari bermula 14 hingga 28 Mac.
“Bagi Semenanjung Malaysia, daripada jumlah yang ditetapkan, sembilan harga kekal, 13 diturunkan, satu meningkat manakala satu lagi merupakan barangan baharu dalam skim berkenaan.
“Menurutnya, antara barangan yang mencatat penurunan harga maksimum ialah daging kerbau import dari India, sawi hijau, lobak merah dari China, bawang kuning besar, bawang merah, bawang putih dari China, ubi kentang dari China, halia tua import, cili kering keriting serta produk berasaskan kelapa seperti kelapa biji, kelapa parut dan santan.
“Bagi Sabah pula, 12 barangan mencatat penurunan harga maksimum manakala sembilan lagi kekal dan tiada barangan mengalami kenaikan harga.
“Di Sarawak, 11 barangan menunjukkan penurunan harga maksimum, tujuh kekal dan tiga barangan mengalami kenaikan iaitu kelapa biji, kelapa parut dan santan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir Majlis Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa Dan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Aidilfitri di sini, hari ini.
Menurut Armizan, pelaksanaan skim itu bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan ketika permintaan meningkat menjelang musim perayaan, selain mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Kami berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” tegasnya
Program Jualan Rahmah MADANI menyasarkan pelaksanaan sebanyak 1,898 siri program di seluruh negara menjelang sambutan Aidilfitri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sehingga semalam, 910 program telah dilaksanakan manakala 988 lagi akan diteruskan secara berperingkat sehingga sehari sebelum 1 Syawal.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim, turut meminta KPDN memastikan bukan sahaja kekerapan program ditambah, malah jumlah Unit Simpanan Stok (SKU) barangan turut dipertingkatkan.
“Jika sebelum ini purata sekitar 40 jenis barangan, bagi minggu terakhir ini jumlahnya ditingkatkan kepada sekurang-kurangnya 50 jenis barangan, khususnya melibatkan barangan keperluan penting menjelang perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















