Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berucap pada Majlis Pemerteraian Dan Pertukaran MOU PERKESO bersama PERHEBAT dan JHEV di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

SUNGAI BULOH – Kira-kira 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersara setiap tahun dengan sebahagian besar mereka terdiri daripada anggota lain-lain pangkat yang masih berada dalam lingkungan umur produktif sekitar 39 hingga 42 tahun. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, senario itu membuka peluang besar kepada industri untuk memanfaatkan pengalaman dan kemahiran mereka bagi memenuhi keperluan tenaga kerja negara. 

Menurutnya, anggota yang mengikuti latihan dalam tempoh peralihan sebelum bersara masih menerima pendapatan daripada kerajaan, sekali gus membolehkan pihak industri melatih mereka tanpa perlu menanggung kos gaji pada peringkat awal. 

“Apabila mereka mula memasuki industri dalam tempoh peralihan sebelum bersara, mereka masih menerima pendapatan daripada kerajaan. 

“Jadi industri sebenarnya tidak perlu membayar gaji pada peringkat awal, tetapi pada masa sama mereka mendapat tenaga kerja yang boleh dilatih dalam operasi industri,” katanya. 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bercakap kepada media selepas hadir ke Majlis Pemerteraian Dan Pertukaran MOU PERKESO bersama PERHEBAT dan JHEV di Kompleks PERHEBAT, Sungai Buloh. Foto MOHD ADZLAN, 10 MAC 2026.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas bersama Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menyaksikan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATMdi Kompleks PERHEBAT di sini hari ini.

Pemeteraian dokumen MoU diadakan antara Ketua Pengarah PERHEBAT, Datuk Amir Md Noor; Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. 

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kerajaan bersedia berbincang dengan pihak industri bagi membantu menampung kos latihan sekiranya diperlukan, sebagai langkah memastikan program latihan kemahiran untuk anggota ATM yang bakal bersara dapat dilaksanakan secara lebih berkesan. 

Menurutnya, pendekatan itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh program peralihan kerjaya dengan memberi peluang kepada anggota yang bakal bersara memasuki industri lebih awal untuk menjalani latihan secara langsung di syarikat berkaitan. 

Ujar beliau, langkah berkenaan membolehkan pihak industri melatih anggota berasaskan kemahiran sedia ada sebelum mempertimbang penawaran pekerjaan secara tetap selepas tamat tempoh peralihan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast