PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pihak dalam usaha mengembalikan semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan kerajaan yang memberhentikan peruntukan dana RM730,300 kepada Parlimen Muar.
Perkara itu ditentukan susulan keputusan sebulat suara panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan yang membenarkan permohonan Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.
Di Mahkamah Rayuan, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar bersama-sama Najib Abu Nawar, Mohd Bakirudin Abdullah dan Muhamad Fadzly Bisri gagal mengembalikan semakan kehakiman ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran.
Pada 27 Oktober tahun lalu, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hashim Hamzah bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa semakan kehakiman yang difailkan perayu pada 23 April 2024 adalah jelas di luar tempoh masa yang ditetapkan.
Pada prosiding hari ini, Hakim Nordin yang bersidang bersama-sama Datuk Lee Swee Seng dan Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan keempat-empatnya mengemukakan tiga persoalan undang-undang berkepentingan awam yang akan dikemukakan dalam rayuan yang akan ditetapkan pada satu tarikh lain.
Mahkamah berpuas hati, ketiga-tiga persoalan undang-undang itu melepasi tahap ujian di bawah peruntukan Seksyen 96 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964 yang membolehkan kebenaran merayu diberikan.
Persoalan tersebut antaranya menyatakan, jika peruntukan bagi kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen telah ditarik balik atau dinafikan, adakah keputusan tersebut tertakluk kepada semakan kehakiman atas dasar pelanggaran hak kesaksamaan yang dijamin di bawah Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, pelanggaran doktrin pengasingan kuasa dan/atau mala fide?
Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam Lim Wei Jiet yang mewakili Syed Saddiq dan Peguam Kanan Persekutuan Nurhafizza Azizan yang mewakili pihak kerajaan.
Wei Jiet berhujah, ketiga-tiga persoalan undang-undang yang dikemukakanna, melepasi `ambang’ (threshold) yang mewajarkan kebenaran merayu diberikan.
Bagaimanpun, Nurhafizza berhujah agar permohonan itu ditolak atas alasan persoalan undang-undang itu bukan berkepentingan awam.
Pada peringkat itu, hujahan Nurhafizza disanggah oleh Hakim Swee Seng dengan menyatakan: “Mana mungkin persoalan itu tidak berkaitan kepentingan awam walhal isu yang dibangkitkan melibatkan ramai pihak?”.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 23 April 2024, Syed Saddiq dan tiga pengundi kawasan itu memohon perintah bagi membatalkan keputusan kerajaan memberhentikan atau membatalkan baki RM500,000 daripada jumlah RM1.7 juta untuk tujuan perbelanjaan kebajikan rakyat.
Ia sepatutnya disalurkan secara terus kepada akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar bagi tujuan perbelanjaan program kebajikan, kesejahteraan rakyat dan bantuan bencana di kawasan Parlimen Muar.
Mereka turut menuntut supaya akses Syed Saddiq kepada sistem myKHAS, yang menguruskan dana pembangunan RM2 juta untuk kawasan Parlimen dikembalikan, selain pembatalan beberapa projek yang telah diluluskan bernilai RM230,300.
Selain itu, mereka mencabar tindakan responden enggan meluluskan sebarang peruntukan kepada Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar, bagi program di bawah inisiatif ‘Projek Mesra Rakyat’ atau program seumpamanya bagi 2024.
Mereka mendakwa tindakan tersebut menafikan hak kesamarataan Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar dan tiga pemohon lain sebagai pengundi kawasan Parlimen itu seperti termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan (hak kesamarataan). – MalaysiaGazette
















