GEORGE TOWN – Taska di dalam Hospital Seberang Jaya (HSJ) yang menjadi lokasi kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan semalam akan ditutup sementara.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Agama Bukan Islam Negeri, Lim Siew Khim berkata, Bahagian Penguatkuasaan akan melaksanakan penutupan sementara di bawah seksyen 16 Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.
“Kita juga mencadangkan agar pembatalan sijil yang dikeluarkan mengikut Seksyen 12 akta sama turut dibuat,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, Siew Khim berkata, kerajaan negeri juga sedang meneliti cadangan langkah lebih ketat bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.
“Antara cadangan ialah peraturan peringkat negeri untuk mengehadkan bilangan taska yang boleh diuruskan oleh satu operator di Pulau Pinang.
“Cadangan ini bertujuan memastikan operator lebih bertanggungjawab dalam mengurus operasi taska mereka dan mematuhi Akta Pusat Jagaan Kanak-Kanak 1984 serta Peraturan Pusat Jagaan Kanak-Kanak 2012 bukannya hanya mengejar keuntungan,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa permohonan pembaharuan pendaftaran taska tidak akan diluluskan jika penjaga tidak memiliki sijil Kursus Permata (KAP) dan telah berkhidmat lebih dari enam bulan.
“Operator mesti mengemukakan bukti pembayaran pendaftaran kursus bagi penjaga berkenaan untuk pertimbangan kelulusan,” katanya.
Terdahulu, dua wanita berusia 22 tahun yang juga pengasuh di taska berkenaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska dalam kawasan HSJ sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
Bapanya, Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, berkata, dia tidak akan memaafkan individu yang didakwa bertanggungjawab atas kematian anaknya itu.
“Saya tidak akan maafkan pelaku dengan apa yang dia buat kerana perbuatan itu bukan sifat manusia.
“Sebagai bapa, saya akan ambil tindakan dan tuntut keadilan supaya bayi lain tidak menerima nasib sama seperti anak saya,” katanya sambil menambah jenazah bayinya itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelulut, Marang, Terengganu. – MalaysiaGazette
















