KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di tepi jalan di Taman La Cottage, Taman Putra Perdana Puchong, Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima maklumat penemuan mangsa berusia 67 tahun itu daripada orang awam.
“Lelaki itu keluar dari rumah untuk mencari barang-barang terpakai dan mangsa ditemui orang awam dalam keadaan terbaring berhampiran kenderaan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan lanjut dijalankan mendapati, tiada sebarang unsur-unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Tambah beliau, mayat mangsa kemudia telah dibawah ke bahagian forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebarkan sebarang makumat yang tidak sahih dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu berkaitan kematian itu.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke balai polis berhampiran atau berubung terus dengan pegawai penyiasat, Sarjan Major Roslan Rosin di talian 0123618462 atau Balai Polis Putra Perdana Puchong di talian 03-80604222 atau IPD Sepang di talian 03-8774222, ujarnya. – MalaysiaGazette
















