Anggota bomba melakukan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dalam kemalangan di Jalan Yong Peng-Kluang, Kluang, hari ini.

KLUANG – Seorang warga emas maut manakala pegawai penjara patah kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 63, Jalan Yong Peng-Kluang di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut yang melibatkan kenderaan pikap dan kereta Proton Pesona berlaku pukul 1.45 petang.

“Kejadian berlaku ketika pikap dipandu Tan Kok Leong, 60, dalam perjalanan dari arah bandar Kluang menuju ke Taman Sri Lambak, manakala Proton Pesona dipandu Mohamad Izwan Samri, 41, dari arah bertentangan.

“Apabila sampai di tempat kejadian, Proton Pesona dipercayai memasuki laluan pikap sehingga berlaku pertembungan antara kedua-dua kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, warga emas berkenaan mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pegawai penjara berkenaan patah kaki kanan.

Katanya, kedua-dua mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini untuk rawatan dan bedah siasat.

Tambah Bahrin, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam diketuai Pegawai Bomba Kanan I Juazman Miskon dikejarkan ke lokasi kemalangan.

Menurut Juazman, sebaik sahaja tiba pihaknya mendapati kedua-dua mangsa tidak tersepit sebelum melakukan tugas mengeluarkan mereka dari kenderaan masing-masing.

“Operasi menyelamatkan mangsa yang dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) selesai pukul 2.31 petang,” katanya dalam kenyataan.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast