MELAKA – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) baru-baru ini telah mengadakan Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat yang antaranya sebagai simbolik pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan pihak berkuasa daerah di Indonesia khususnya di wilayah Jambi.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Penaung PPM, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dr. Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Penganugerahan itu dilihat sebagai jambatan penting dalam mempertingkatkan kerjasama erat serta hubungan yang sedia terjalin antara Pengakap Malaysia dengan pihak berkuasa wilayah Jambi.
Ia juga menjadi wadah untuk menyemarakkan semangat brotherhood of scouting yang merentas sempadan demi kemajuan dan kesejahteraan serantau.
Antara pengisian utama majlis adalah penganugerahan bintang-bintang perkhidmatan tertinggi iaitu Bintang Semangat Rimba – Emas dan Bintang Semangat Rimba – Perak.
Gabenor Jambi, Dr Al Haris telah dianugerahkan Bintang Semangat Rimba – Emas. Beliau telah diwakili oleh Dr. Sudirman.
Sementara itu, Yang Berbahagia Wali Kota Jambi, Dr. H. Maulana, M.K.M telah menerima penganugerahan Bintang Semangat Rimba – Perak.
Bintang Semangat Rimba – Emas merupakan anugerah ketiga tertinggi dalam susunan anugerah perkhidmatan PPM yang memfokuskan kepada kepimpinan mula dianugerahkan pada tahun 1958.
Sementara itu, Bintang Semangat Rimba – Perak merupakan anugerah keempat tertinggi dalam susunan perkhidmatan yang mula dianugerahkan pada tahun 1964.
Ketua Pengakap Negara, Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin dalam ucapannya menyatakan penganugerahan itu merupakan manifestasi penghargaan tertinggi daripada Persekutuan Pengakap Malaysia terhadap jasa, sokongan dan komitmen luar biasa yang telah dicurahkan.
Beliau menjelaskan, pihaknya amat berharap agar penganugerahan ini menjadi titik tolak yang lebih kukuh dalam mempertingkatkan kerjasama erat serta hubungan diplomatik yang telah terjalin antara Persekutuan Pengakap Malaysia dengan pihak berkuasa daerah di Republik Indonesia khususnya di wilayah Jambi.
“Hubungan baik ini sangat signifikan, terutamanya dalam konteks memperluas jaringan komuniti, memupuk persefahaman serantau dan menyemarak semangat persaudaraan Pengakap yang merentas sempadan, demi keamanan, kemajuan dan kesejahteraan bersama.
“Pihak kami melihat potensi yang amat luas untuk melaksanakan lebih banyak program pembangunan belia, pertukaran budaya, latihan kepimpinan serta kerjasama khidmat masyarakat yang mampu memberi impak positif kepada ahli-ahli Pengakap di kedua-dua buah negara, ” katanya.- MalaysiaGazette
















