KUALA LUMPUR – Seramai 400 warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berkhidmat di sekitar Lembah Klang melaksanakan Bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Tahun 2026 sebagai komitmen memperkukuh budaya integriti, tadbir urus telus serta menolak sebarang bentuk rasuah dalam organisasi pertahanan negara.
Markas ATM Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan IBR itu merupakan yang pertama diadakan di bawah kepimpinan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman sejak beliau mengambil alih tampuk pemerintahan ATM.
Ia sekaligus mencerminkan iltizam berterusan kepimpinan tertinggi angkatan itu dalam memperkukuh budaya integriti dalam organisasi.
Katanya, Malek Razak turut menandatangani Sijil Ikrar Bebas Rasuah sebagai simbol komitmen kepimpinan tertinggi ATM memastikan organisasi pertahanan negara terus bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.
“Bacaan ikrar disampaikan oleh tiga wakil daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sebagai simbol kesepaduan ketiga-tiga cabang perkhidmatan dalam mendukung agenda integriti organisasi.
“Ikrar Bebas Rasuah merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggalakkan kepimpinan serta warga organisasi menyatakan komitmen secara terbuka dalam usaha membanteras rasuah serta memperkukuh amalan tadbir urus berintegriti,” katanya.
Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Unit Integriti Kementerian Pertahanan, Ramli Hassan.
Melalui Perintah Ulung PAT ke-24, Malek Razak menegaskan, pelaksanaan IBR adalah manifestasi komitmen bersama seluruh warga ATM bagi memastikan rasuah tidak sesekali bertapak dalam organisasi itu.
Menurutnya, pelaksanaan IBR juga merupakan antara inisiatif penting yang menyokong tonggak kedua perintah ulung PAT iaitu tatakelola tuntas, integriti terpelihara yang menekankan pengukuhan sistem tadbir urus dan ketelusan dalam setiap proses pentadbiran.
“Pendekatan tersebut selari dengan usaha berterusan ATM dalam memperkukuh pelaksanaan pelan integriti serta langkah pencegahan rasuah secara menyeluruh di semua peringkat organisasi bagi memastikan setiap warga perkhidmatan sentiasa berpegang kepada prinsip amanah, disiplin dan tanggungjawab dalam melaksanakan tugas mempertahankan kedaulatan negara,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris TUDM; Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhammad Huzaimi Sabri serta pegawai kanan ATM. – MalaysiaGazette
















