Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan terus meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai fokus utama dalam mendepani kesan buruk daripada konflik geopolitik yang berlaku ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rakyat perlu dilindungi daripada impak penuh peperangan terutamanya akibat lonjakan harga minyak global yang seterusnya menyebabkan kenaikan harga barang keperluan lain.

“Sebab itu, saya telah maklumkan kepada jemaah menteri untuk menetapkan harga BUDI95 untuk rakyat, ini keputusan yang sukar tetapi akan dikekalkan pada paras RM1.99 seliter walaupun harga pasaran sebenar jauh lebih tinggi apatah lagi jika dibandingkan dengan harga di negara-negara jiran,” katanya semasa sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Anwar mengarahkan, Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof mempengerusikan jawatankuasa berhubung penguatkuasaan bahan bakar seperti diesel agar ia terkawal di semenanjung dan tidak naik harga di Sabah dan Sarawak di samping mengekang kes-kes penyeludupan.

Katanya, Fadillah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan memastikan pengawasan lebih teliti dan tindakan lebih tegas terhadap sebarang usaha penyeludupan.

Timbalan Perdana Menteri II juga menurut Anwar ditugaskan untuk mempengerusikan jawatankuasa bersama Menteri Ekonomi dan menteri-menteri lain yang berkaitan bagi mengkaji impak ekonomi setiap hari dan memaklumkan perkembangan tersebut kepada pimpinan kerajaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memaklumkan keterjaminan bekalan minyak di Malaysia masih terkawal dan didapati bekalan produk petroleum di negara ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Itu kita dalam keadaan yang sangat membanggakan, Alhamdulillah, kerana bila kita semak dengan Petronas terutamanya, kita dapati bekalan produk petroleum mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.
“Ini tentunya berbeza daripada keadaan di kebanyakan negara lain. Sebab itu, saya selalu tekankan tentang isu tatakelola, pengurusan yang cekap dan beramanah dan profesional. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast