KUALA LUMPUR – Pas menggesa pihak berkuasa mengurus ketegangan atau pertikaian berhubung isu agama dan kaum yang berlaku sekarang dengan segera, telus dan adil.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, penjelasan tepat, penguatkuasaan undang-undang yang adil dan tidak memihak serta komunikasi krisis yang jelas daripada pihak berwajib sangat perlu bagi mengelakkan salah faham, spekulasi dan prasangka atau peningkatan ketegangan yang tidak perlu.
Pas juga katanya, menggesa semua pihak termasuk pemimpin, pertubuhan dan platform media agar sentiasa bertindak dengan lebih matang dan bertanggungjawab ketika mengulas atau melaporkan isu-isu begini.
Tegas beliau, pada masa seperti ini, Malaysia sangat memerlukan suara yang menenteramkan keadaan, bukan yang memarakkan ketegangan.
“Pas memandang serius ketegangan dan pertelingkahan terbuka melibatkan beberapa pertubuhan dan individu beragama Hindu dengan sosok tertentu dalam kalangan anggota masyarakat, terutamanya yang beragama Islam kebelakangan ini.
“Pas menegaskan isu-isu berkait agama dan identiti kaum hendaklah ditangani dengan penuh kebijaksanaan, sikap tenang dan kepekaan mendalam terhadap sifat asasi masyarakat kita yang majmuk dan pelbagai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, sensitiviti berkait agama, sejarah dan tempat ibadat adalah amat dekat dengan semua komuniti dan kumpulan masyarakat.
Justeru isu tersebut hendaklah ditangani secara berhemah dan matang, tanpa provokasi atau sikap melampau daripada mana-mana pihak.
“Percubaan untuk membingkaikannya dengan cara-cara yang menyuburkan syak wasangka, kebencian dan permusuhan antara komuniti atau kumpulan adalah perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan mesti ditolak semua pihak.
“Keharmonian dan perpaduan rakyat kita yang pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, selain kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin oleh undang-undang Perlembagaan negara,” katanya lagi.
Menurut beliau, Pas akan terus komited kepada usaha dan matlamat memelihara keharmonian dan perpaduan rakyat kita yang pelbagai latar belakang kepercayaan dan budaya, selain kekal menjunjung hak dan kehormatan semua seperti yang dijamin oleh undang-undang Perlembagaan negara. -MalaysiaGazette
















