Presiden Malaysia Recyclers Association (MRA), Datuk Joe Saravanan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pertemuan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Malaysia Recyclers Association (MRA) merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kesediaan beliau meluangkan masa bertemu wakil industri kitar semula bagi membincangkan pelbagai cabaran yang sedang dihadapi sektor berkenaan di negara ini.

Kata Presiden MRA, Datuk Joe Saravanan, pertemuan itu memberi ruang kepada pihak industri menyuarakan secara terus beberapa isu penting termasuk kemasukan bahan sekerap dan sisa elektronik (e-waste) secara haram yang menjejaskan operasi pemain industri sah.

Menurutnya, masalah tersebut sejak sekian lama memberi kesan kepada pengimport dan pengeksport yang menjalankan perniagaan secara sah serta mematuhi rangka kerja undang-undang Malaysia.

“Kami amat menghargai komitmen kerajaan untuk menangani isu import haram bahan sekerap dan e-waste yang telah memberi kesan kepada pemain industri yang beroperasi secara sah serta mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Joe, langkah kerajaan untuk meneliti dan mengambil tindakan terhadap isu tersebut dilihat mampu melindungi pemain industri yang menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab selain memastikan industri kitar semula tempatan terus berkembang secara mampan.

Beliau berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar pandangan pemain industri turut memberikan keyakinan kepada penggiat sektor tersebut bahawa kerajaan serius dalam memastikan industri kitar semula diurus secara telus serta berintegriti.

Dalam masa sama, Joe turut memaklumkan dalam pertemuan tersebut beliau mengambil kesempatan menyuarakan kebimbangan yang dihadapi pemain industri kitar semula yang kini berdepan pelbagai cabaran lain.

Menurutnya, isu tersebut termasuk beberapa perkara berkaitan operasi industri, pematuhan peraturan serta cabaran pasaran yang memerlukan perhatian berterusan daripada pihak kerajaan.

“Saya juga mengambil kesempatan dalam pertemuan tersebut untuk menyuarakan beberapa kebimbangan yang dibangkitkan oleh pemain industri kitar semula yang kini berdepan pelbagai isu berkaitan operasi serta peraturan industri.

“Pemain industri berharap agar kerajaan terus memberi perhatian terhadap perkara ini bagi memastikan industri kitar semula tempatan dapat berkembang secara mampan dan berdaya saing,” ujarnya.

Tambah beliau, industri kitar semula memainkan peranan penting dalam menyokong agenda kelestarian negara selain menyumbang kepada pembangunan ekonomi melalui aktiviti perdagangan dan eksport bahan kitar semula.

Sehubungan itu kerjasama erat antara kerajaan dan pemain industri amat penting bagi memastikan sektor tersebut dapat terus berkembang dalam persekitaran yang telus, selamat dan mematuhi undang-undang.

“Kesediaan Perdana Menteri untuk mendengar dan mengambil tindakan terhadap isu-isu yang dibangkitkan memberikan keyakinan kepada pemain industri yang komited untuk menjalankan aktiviti kitar semula secara sah dan mampan.

“Usaha ini bukan sahaja melindungi industri kitar semula tempatan, malah turut memperkukuh daya tahan ekonomi serta integriti perdagangan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast