SEPANG – Seorang pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu dipercayai menerima wang itu sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja-pekerja sebuah ladang di negeri Selangor bagi tujuan pembangunan komersial.
Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar 12.20 tengah hari tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
“Siasatan awal mendapati, suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 pekerja ladang tanpa pengetahuan dan kebenaran pekerja-pekerja tersebut.
“Suspek merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas lapan ekar itu telah menerima wang beberapa kali dalam tempoh lima tahun dan turut menerima wang kira-kira RM5 juta hasil pengambilan tanah itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) (A) Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, suspek terbabit akan di bawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok bagi permohonan reman.- MalaysiaGazette
















