KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini memutuskan semua agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan kerajaan (GLIC) tidak akan menganjurkan perayaan rumah terbuka Aidilfitri tahun ini.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah tersebut memberikan satu mesej supaya lebih cermat dan sederhana.
“Ada yang bertanya kalau keadaan terkawal dan barang- barang keperluan seperti minyak dan gas itu masih boleh disediakan dan mencukupi, apa keperluan kita waspada dan berjimat?
“Saya kata, ini langkah waras bagi kita supaya jangan kita nanti terjebak dengan keadaan yang lebih Jadi sebaiknya kita ambil sikap yang lebih sederhana, lebih bertanggungjawab,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya, hari ini.
Di samping itu, Perdana Menteri mengarahkan menteri dan seluruh anggota pentadbiran dan jabatan-jabatan dihadkan ke lawatan ataupun kunjungan ke luar negara. Melainkan yang memang dalam jadual yang wajib.
Susulan konflik Asia Barat yang masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir, kerajaan memutuskan Mesyuarat Jemaah Menteri Khas diadakan pagi Jumaat ini bagi mengkaji lebih dekat perkembangan semasa.
“Ini akan memberi ruang Jemaah Menteri meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasa secara lebih nyata dan dekat, dan menentukan hala tuju dan langkah seterusnya yang harus kita tangani,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















