HULU LANGAT – Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan memaklumkan pihaknya membatalkan penganjuran rumah terbuka Aidilfitri di Parlimen berkenaan bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, pihaknya sebelum ini merancang menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 25 April depan, namun keputusan tersebut diubah selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri yang menyentuh keperluan berjimat susulan perkembangan semasa termasuk konflik di Asia Barat.
Katanya, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menganjurkan rumah terbuka itu akan disalurkan kepada program kebajikan bagi membantu golongan memerlukan di kawasan Parlimen Hulu Langat.
“Peruntukan tersebut akan kita gunakan untuk turun padang bertemu rakyat, khususnya golongan susah, warga emas dan mereka yang memerlukan bantuan sepanjang bulan Ramadan ini serta selepas Aidilfitri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengarahkan semua agensi, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya tidak menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, tahun ini.
Perdana Menteri mengumumkan ia bagi memberi mesej berbelanja dengan cermat, susulan kesan ekonomi daripada konflik peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran.
Sementara itu, Mohd Sany berkata, pihaknya kini giat melaksanakan program ziarah kebajikan menerusi inisiatif ziarah kasih Ramadan, termasuk menziarahi kira-kira 11 hingga 12 rumah di Kampung Batu 13 dan Kampung Batu 14 bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk.
Beliau menambah, program ziarah tersebut akan diteruskan sepanjang tahun mengikut musim perayaan, termasuk ziarah kasih Aidilfitri dan ziarah kasih Aidiladha, bagi memastikan wakil rakyat sentiasa turun padang bertemu masyarakat.
“Yang penting kita turun bertemu rakyat, menyantuni warga dan masyarakat terutama mereka yang sedang diuji dengan kesusahan,” ujarnya.
Tegas beliau, keputusan tidak menganjurkan rumah terbuka dibuat sebagai tanda menghormati dan mematuhi arahan Kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette
















