Ratusan warga asing yang ditahan untuk diperiksa dalam Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen di sekitar Pulau Indah, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 9,497 warga asing ditahan menerusi 2,618 operasi penguatkuasaan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Mac lalu.

Ia termasuk seramai 1,158 individu yang didapati melanggar syarat pas imigresen, khususnya menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Lawatan Kerja Sementara.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya memandang serius penglibatan segelintir warga asing yang masuk ke negara ini menggunakan Pas Lawatan Sosial sebagai pelancong, tetapi sebaliknya menjalankan aktiviti pekerjaan di premis seperti restoran dan kilang.

Menurut beliau, daripada keseluruhan tangkapan tersebut, seramai 1,158 individu ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Kesalahan ini melibatkan penyalahgunaan kemudahan pas, khususnya Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Lawatan Sosial untuk menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengikut statistik, lima kewarganegaraan tertinggi yang ditahan kerana melanggar syarat pas ialah Bangladesh iaitu seramai 532 orang; Thailand (248); Indonesia (111); China (86) dan Pakistan (51).

Daripada 1,158 tangkapan tersebut, seramai 482 individu didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial melibatkan 235 warga Thailand; Bangladesh (83); China (62); Indonesia (62); Pakistan (13) serta 27 individu daripada lain-lain negara.

Siasatan awal mendapati, sebahagian daripada mereka terlibat secara aktif dalam pengurusan serta pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran sah yang merupakan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sehubungan itu, Zakaria menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara.

“Individu yang didapati melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk penahanan, pendakwaan serta pengusiran dari Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti warga asing yang menjalankan perniagaan secara tidak sah digalakkan menyalurkannya kepada JIM bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast