Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam dengan sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim Zionis Israel yang bertindak menutup pintu Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif kepada para jemaah umat Islam, khususnya semasa bulan suci Ramadan.

Wisma Putra, Kementerian Luar Negeri berkata, sekatan yang bersifat diskriminasi dan sewenang-wenangnya terhadap akses ke Kota Lama Baitulmaqdis serta tempat-tempat ibadat di kawasan tersebut merupakan pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta sejarah dan perundangan sedia ada yang mengawal selia tapak-tapak suci di Baitulmaqdis.

Malah, katanya, tindakan sedemikian merupakan satu lagi provokasi terhadap umat Islam serta terus meningkatkan ketegangan di Wilayah Palestin yang diduduki.

“Malaysia dengan tegas menolak langkah-langkah yang menyalahi undang-undang dan tidak berasas ini, serta mengecam usaha berterusan Israel untuk menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa.

“Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur mahupun ke atas tapak-tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut. Keseluruhan kompleks Masjid Al-Aqsa/Al-Haram Al-Sharif seluas 144 dunam (144 ribu meter persegi) merupakan tempat ibadat umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut, Waqf Baitulmaqdis serta Jabatan Hal Ehwal Masjid Al-Aqsa, di bawah Kementerian Awqaf, Hal Ehwal Islam dan Tempat-Tempat Suci Jordan kekal sebagai satu-satunya pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran kawasan tersebut serta pengawalan akses ke dalamnya.

Sehubungan tu, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel agar menghentikan pelanggaran berterusan serta amalan-amalan yang menyalahi undang-undang terhadap tapak-tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmaqdis.

Malaysia turut menyeru agar kesucian serta sejarah dan perundangan sedia ada tempat-tempat suci tersebut dihormati, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast