NIBONG TEBAL – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga asing yang juga saksi bagi perbicaraan kes dadah di Mahkamah Butterworth pada 13 dan 16 Mac ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, Mohd Ismail Wali Hussein dengan nombor UNHCR 512-05C00493 dikesan tinggal di alamat terakhir No. 18, Tingkat Permata, Alma dekat sini.
“Saksi tersebut diperlukan untuk satu kes perbicaraan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Justeru, kita memerlukan bantuan orang ramai bagi mengesan saksi kes berkenaan atau Mohd Ismail tampil sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Syakur Suhabi di talian 014 851 8671 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette















