Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) berpangkat Koperal direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, anggota berusia lingkungan 30-an yang bertugas di bahagian perisikan sempadan itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, 5 Mac lalu.

Anggota terbabit bagaimanapun sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman tamat semalam.

Menurut beliau, suspek yang bertugas sebagai perisik sudah dua tahun bertugas di sempadan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, dia mempunyai hubungan rapat dengan ahli sindiket yang disyaki terlibat dalam kes berkenaan dan dipercayai sama-sama menghisap dadah.

Maklumat yang diperolehi juga mendapati anggota itu berada di lokasi kejadian bersama ahli sindiket kira-kira empat hingga lima jam sebelum insiden tembakan berlaku.

“Ujian saringan air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis ketamin, namun kita tak tahan dia kerana ambil dadah sebaliknya untuk membantu siasatan kes ini,” katanya seperti yang dilaporkan sebuah portal berita, hari ini.

Katanya, polis akan mendapatkan perintah bon jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah bagi memastikan suspek memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Adzli berkata, pihaknya akan meminta kerjasama pegawai pemerintah anggota berkenaan sama ada untuk menahan kerja atau tidak berikutan khuatir berlaku kebocoran maklumat atau mengganggu siasatan.

“Suspek antara 11 individu yang kita tahan dan kita merayu kepada orang ramai yang ada maklumat mengenai kes ini dapat menghubungi polis dan boleh maklum kepada saya sendiri secara rahsia,” katanya.

Dalam kejadian jam 5.40 pagi, 25 Februari lalu, Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir dipercayai ditembak dua das oleh suspek tidak dikenali.

Mangsa bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan daripada senjata api dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam nyaris ditembak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast