Program agihan bubur lambuk di Padang MBK 1 Kuantan anjuran Yayasan Pahang

KUANTAN – Aktiviti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk sempena bulan Ramadan bukan sekadar berkongsi rezeki dengan masyarakat, malah ia menjadi lambang kesepaduan rentas bangsa dan agama.

Bagi seorang pemuda berbangsa India, Maheswaran a/l Shilowaras, 24, aktiviti itu menuntut semangat perpaduan, toleransi dan kesabaran semua yang terlibat.

Penuntut Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) itu berkata, dia teruja dapat merasai sendiri pengalaman mengagihkan bubur lambuk kepada pengunjung di Padang MBK1, di sini hari ini buat pertama kali.

Maheswaran a/l Shilowaras

“Saya dapat melihat hubungan sesama kita yang berlainan agama lebih erat menerusi aktiviti ini. Semua yang terlibat tak kira bangsa juga bekerjasama ketika proses pengagihan kepada orang ramai.

“Memandangkan saya sedang menjalani latihan industri, saya tidak sempat bersama-sama ketika proses penyediaan iaitu memasak dan sebagainya. Tapi saya tetap luangkan masa dan teeruja untuk program pengagihan petang ini,” katanya.

Maheswaran memberitahu, bubur lambuk juga bukan asing baginya kerana setiap tahun dia akan menerima sebekas bubur lambuk daripada kawan-kawannya untuk dibuat berbuka puasa.

Dia yang berasal dari Kuantan itu memberitahu sudah empat tahun berpuasa penuh di bulan Ramadan kerana mengikuti rakan-rakannya yang beragama Islam.

Sementara itu, seorang muslim berketurunan Tionghua, Jacky Ng, 27 yang berasal dari Tawau, Sabah turut teruja dapat merasai pengalaman mengagihkan bubur lambuk buat pertama kali.

Jacky Ng

“Biasa saya datang ambil (bubur lambuk), tapi kali ini saya pula memberi. Memang teruja dan gembira sebab dapat menyertai program agihan ni biarpun tiada pengalaman sebelum ini,” katanya.

Dia yang sudah 10 tahun tinggal di Kuantan berpendapat bahawa program agihan bubur lambuk ini mendorong individu agar saling bekerjasama dan berkongsi rezeki dengan orang lain.

Kedua-dua pemuda itu merupakan antara 50 peserta yang terlibat dalam program agihan bubur lambuk dan puding raja anjuran Yayasan Pahang di sini.

Menerusi program terbabit, sebanyak 800 pek bubur lambuk dan 500 pek puding raja diagihkan kepada orang ramai bermula pukul 5.30 petang sehingga selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast