Wisma Putra

KUALA LUMPUR — Kira-kira 70 rakyat Malaysia berdepan detik mencemaskan susulan kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku di Hotel Mira Ajyad, kira-kira pukul 5 petang waktu tempatan, semalam.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, semua jemaah Malaysia yang menginap di hotel berkenaan didapati selamat.

“Maklumat awal menunjukkan bahawa kira-kira 70 orang jemaah Malaysia di bawah kelolaan TH Travel, Zahafiz Travel dan Rayhar Travel menginap di hotel tersebut.

“Ketiga-tiga agensi tersebut telah mengesahkan bahawa semua jemaah Malaysia di bawah pengurusan mereka berada dalam keadaan selamat dan telah dikenal pasti,” jelas Wisma Putra.

Dalam pemeriksaan susulan oleh pihak konsulat kira-kira pukul 7.20 malam waktu tempatan, beberapa jemaah Malaysia turut dilihat berkumpul dengan selamat di sekitar kawasan hotel.

Menurut kenyataan itu lagi, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa Arab Saudi dan setakat ini, tiada petunjuk bahawa insiden tersebut berpunca daripada serangan dron atau sebarang unsur sabotaj.

“Atas faktor keselamatan, para tetamu tidak dibenarkan kembali ke bilik masing-masing sementara siasatan dan pemeriksaan keselamatan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Sekiranya terdapat kelewatan dalam mendapatkan kebenaran untuk kembali ke hotel, pihak pengurusan hotel bersama agensi pelancongan masing-masing akan mengatur penginapan sementara bagi tetamu yang terjejas,” kata kementerian itu lagi.

Tambahnya, Kementerian Luar Negeri melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, akan terus memantau situasi itu dengan rapat dan kekal berhubung dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta agensi pelancongan Malaysia bagi memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah Malaysia sentiasa terpelihara.

“Jemaah Malaysia yang kini berada di Makkah dinasihatkan supaya kekal tenang dan patuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi pelancongan masing-masing.

“Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah,” jelas Wisma Putra lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast