KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa memiliki sekeping gambar yang menunjukkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan pistol ketika operasi serbuan di rumahnya sekali gus menafikan kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sebelum ini menegaskan tiada pegawainya berbuat demikian.
Albert berkata, gambar tersebut diterimanya pada Isnin lalu sekitar pukul 6 petang ketika berada di pejabatnya di Puchong.

Menurutnya, gambar itu menunjukkan dua pegawai SPRM berada di halaman rumahnya dengan salah seorang daripadanya jelas mengacukan pistol.
Beliau mendakwa, gambar tersebut berkemungkinan diambil daripada rakaman kamera badan (bodycam) yang dipakai pegawai SPRM ketika operasi serbuan dilakukan.
“Saya percaya gambar ini diambil daripada bodycam kerana di kawasan itu tiada kamera litar tertutup (CCTV). Malah, perakam CCTV rumah saya juga telah dirampas oleh SPRM semasa serbuan,” katanya.
Menurut Albert, sehingga kini sudah 105 hari berlalu namun perakam CCTV miliknya masih belum dipulangkan dan tiada penjelasan diberikan mengenai perkara itu.
Beliau berkata, gambar tersebut dihantar kepadanya melalui nombor telefon dari Kemboja dan individu berkenaan turut merakam imej anjing peliharaannya jenis German Shepherd bagi membuktikan gambar itu diambil di rumahnya.
Albert mendakwa, hanya pegawai SPRM yang berkemungkinan memiliki gambar tersebut dan percaya individu yang menghantarnya mungkin mahu mendedahkan salah laku yang berlaku semasa operasi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis semalam dan meminta siasatan dijalankan termasuk kemungkinan wujud cubaan menutup kesalahan oleh pihak tertentu.
Pada masa sama, Albert turut mencabar SPRM mendedahkan kandungan telefon bimbitnya yang dirampas ketika serbuan bagi membuktikan sama ada beliau benar-benar dihubungi pihak berkuasa seperti didakwa sebelum ini.
“Telefon bimbit dan iPad saya dirampas semasa serbuan. Jika benar saya dihubungi, dedahkanlah kandungan telefon dan WhatsApp saya,” katanya.
Beliau turut mendakwa, terdapat empat hingga lima pegawai yang memakai bodycam ketika operasi tersebut dan menggesa semua rakaman itu didedahkan kepada umum.
Albert bersedia berdepan tindakan undang-undang sekiranya dakwaannya terbukti tidak benar namun meminta semua bukti termasuk rakaman bodycam dan perakam CCTV rumahnya didedahkan kepada masyarakat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Azam meletakkan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM susulan pelbagai dakwaan salah laku yang menurutnya menjejaskan integriti institusi berkenaan. – MalaysiaGazette
















