KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menasihatkan umat Islam supaya mengikut nasihat pihak berkuasa dalam urusan menunaikan ibadah umrah.
Menurut beliau, sekiranya ibadah itu tidak dibenarkan atau tidak digalakan buat masa ini, maka umat Islam perlu mematuhi arahan tersebut.
Ini kerana, jelasnya, umrah adalah ibadah yang luas waktunya dan boleh ditangguh ke waktu yang lebih aman.
“Mudah mudahan pihak (agensi) travel boleh berunding dengan pihak bakal umrah di dalam isu ini kerana di dalam keadaan sebegini penjagaan nyawa lebih (penting) daripada perlaksanaan ibadat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, wujud polemik di media sosial berhubung sama ada ibadah umrah perlu diteruskan atau ditangguhkan susulan konflik di Asia Barat.
Polemik itu termasuk berkait dengan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh bakal jemaah umrah, selain tiada kepastian daripada pihak agensi umrah untuk menunda ibadah tersebut ke tarikh baharu.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan sementara rancangan menunaikan umrah berikutan keadaan keselamatan di Asia Barat yang masih tidak menentu.
Menurut beliau, konflik yang berlaku boleh berubah pada bila-bila masa dan kerajaan tidak mahu mengambil risiko terhadap keselamatan rakyat Malaysia.
Malah, sejak beberapa hari lalu, kerajaan juga sudah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara Asia Barat susulan peperangan antara Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran yang masih berlanjutan sehingga kini. – MalaysiaGazette
















