KEPALA BATAS – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang mengesahkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang murid Tahun Dua dirotan gurunya di sebuah sekolah dalam daerah Seberang Perai Utara sehingga jarinya bengkak serta kebiruan seperti yang tular di media sosial.
Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, siasatan berkenaan dijalankan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Utara bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai kejadian tersebut.
“Saya sedang mendapatkan laporan berkenaan dan kes ini disiasat oleh PPD Utara,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di Facebook oleh seorang wanita yang mendakwa anak lelakinya yang masih bersekolah rendah dirotan menggunakan pembaris kayu selepas terlupa menyiapkan kerja rumah.
Menurut wanita itu, rotan berkenaan didakwa mengenai bahagian tangan anaknya sehingga menyebabkan bengkak selain mengadu kesakitan selepas pulang dari sekolah.
Difahamkan, wanita itu turut mendakwa pihak hospital menasihatkan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian. – MalaysiaGazette
















