KLANG – Lelaki yang merempuh dua penembak bermotosikal hingga menyebabkan seorang daripadanya maut dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh.
Berdasarkan pertuduhan, R. Ganesalingam, 49, yang merupakan seorang peniaga pada 5 Mac lalu pada pukul 9.47 pagi di hadapan simpang masuk Taman Seri Kapar, Batu 12, Jalan Keretapilama Off Jalan Kapar itu melakukan jenayah itu hingga menyebabkan K. Tinesh Kumar maut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret, A. Karthiyayini hari ini kerana pertuduhan tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Majistret kemudian menetapkan tarikh sebutan pada 22 April ini bagi laporan forensik.
Terdahulu, kes berkenaan dikendali oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Syuhada Rosli manakala tertuduh diwakili oleh peguamnya, Nathiya Kamalanathan.
Sebagai rekod, 5 Mac lalu dua lelaki yang menunggang motosikal Yamaha Y15 dipercayai melepaskan tembakan ke arah pemandu lori di Kampung Perepat sebelum dikejar majikan mangsa hingga ke Jalan Keretapi Lama.
Lelaki itu yang juga tertuduh kemudian melanggar motosikal tersebut apabila salah seorang daripada mereka mengacukan objek menyerupai pistol sebelum terjatuh dan terseret di simpang masuk Taman Sri Kapar
Semakan mendapati lelaki yang maut mempunyai 23 rekod jenayah.
Manakala rakannya yang cedera memiliki 10 rekod jenayah selain dikehendaki di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Majikan yang merempuh motosikal itu pula mempunyai rekod kes dadah dan jenayah di bawah Seksyen 302 dan 307 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette
















