KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyalurkan sumbangan keseluruhan sebanyak RM18.23 juta kepada 38,850 penerima terdiri daripada ketua keluarga asnaf dan pelajar institusi MAIWP.
Ia merangkumi Bantuan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada setiap penerima asnaf, cenderahati RM120 kepada 400 orang asnaf berjumlah RM48,000 serta saguhati duit raya RM50 kepada 200 orang anak-anak asnaf berjumlah RM10,000 bagi meringankan beban penerima menjelang Aidilfitri.
Kesemua sumbangan itu diserahkan semasa program Rahmah MADANI Ramadan MAIWP: Majlis Iftar Bersama Asnaf Tahun 2026M/1447H yang berlangsung di Dewan Perdana FELDA, semalam.

“Sepanjang Ramadan tahun ini, MAIWP turut melaksanakan pelbagai program kebajikan dan bantuan kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan melalui kerjasama bersama agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dengan jumlah keseluruhan agihan bantuan mencecah RM43.68 juta,” kata MAIWP dalam satu kenyataan.
Selain itu katanya, MAIWP memperuntukkan RM22.71 juta sepanjang tahun ini melalui Skim Bantuan Sara Hidup Bulanan bagi membantu golongan asnaf yang layak.
Dalam masa yang sama, penerima bantuan tersebut turut menerima Bantuan Keperluan Asasi secara bulanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM127,174,000.00 sepanjang tahun 2026.
Kedua-dua bantuan itu katanya memberi manfaat kepada 38,850 ketua keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“MAIWP turut merakamkan penghargaan kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang terus menunaikan kewajipan zakat melalui Pusat Pungutan Zakat MAIWP.
“Sumbangan zakat yang diberikan menjadi pemangkin utama dalam memastikan kebajikan golongan asnaf terus terbela serta pelbagai inisiatif bantuan dapat dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, penganjuran program itu mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memastikan golongan yang memerlukan sentiasa disantuni, selari dengan semangat Rahmah MADANI yang menekankan nilai keprihatinan, kebersamaan dan kesejahteraan ummah. -MalaysiaGazette















