PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak tetap meneruskan rayuan dalam usaha mendapat kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkaitan titah adendum.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menegaskan, prosiding di Mahkamah Rayuan tidak akan ditarik balik kerana banyak masa dan wang dihabiskan ketika pendengaran permohonan di Mahkamah Tinggi.
Selain itu, jelas beliau, isu berkaitan prosiding menghina mahkamah dan semakan kehakiman titah adendum yang kedua-duanya diputuskan oleh Hakim Alice Loke Yee Ching, merupakan tindakan undang-undang yang berbeza.
Semakan kehakiman diputuskan oleh hakim berkenaan pada 22 Disember 2025 manakala kebenaran memulakan tindakan menghina mahkamah terhadap Ahmad Terrirudin, ditolak pada 4 September tahun yang sama.
“Prosiding tetap diteruskan kerana anak guam kami tidak membayangkan hasrat untuk menarik balik rayuan tersebut.
“Katakanlah keputusan Hakim Alice berkaitan semakan kehakiman (titah adendum) dikekalkan, kami tetap meneruskan rayuan menghina mahkamah (terhadap Ahmad Terrirudin),” ujarnya kepada wakil media di Istana Kehakiman di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan menetapkan 30 Mac ini untuk pengurusan kes bagi membolehkan pihak-pihak memaklumkan pendirian mereka terhadap rayuan berkenaan.
Rayuan itu sepatutnya didengar hari ini di hadapan panel diketuai oleh Datuk Lim Chong Fong yang bersidang bersama-sama Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Bekas Perdana Menteri merayu keputusan Hakim Alice yang menolak permohonannya agar tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap Ahmad Terrirudin yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan menyembunyikan titah adendum.
Najib membuat permohonan menghina mahkamah berdasarkan bukti bahawa Ahmad Terrirudin ketika berkhidmat sebagai Peguam Negara mengetahui kewujudan titah adendum, namun memilih untuk mengelirukan mahkamah.
Titah adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Ketika panel bersidang hari ini, Hakim Chong Fong menarik perhatian mahkamah dengan meminta kepastian sama ada semakan kehakiman titah adendum, mempunyai kaitan dengan permohonan menghina mahkamah kerana kedua-duanya diputuskan oleh hakim yang sama.
Panel turut meminta kepastian kedua-dua pihak, prosiding mana yang wajar didengar dahulu.
Pada peringkat itu, Muhammad Shafee bangun dan menjelaskan, kedua-duanya tiada kaitan dan pihaknya memerlukan masa dua atau tiga minggu bagi mendapat arahan Najib berhubung hala tuju rayuan di hadapan panel berkenaan.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan turut memaklumkan, pihaknya perlu mendapat arahan Peguam Negara berhubung perkara tersebut.
Pada 4 September 2025, Hakim Alice menolak permohonan bekas Perdana Menteri selepas berpuas hati beliau gagal membuktikan kes prima facie bagi mewajarkan mahkamah membenarkan prosiding komital dimulakan terhadap Ahmad Terrirudin.
Beliau berpendapat, dakwaan Najib (pemohon) bahawa Ahmad Terrirudin (responden) menghina mahkamah dengan menafikan kewujudan titah adendum, dibuat tanpa bukti kukuh.
“Tiada bukti jelas yang menyokong dakwaan pemohon bahawa Peguam Negara ketika itu (responden) telah menghina mahkamah kerana dakwaan itu dibuat berlandaskan kepada spekulasi semata-mata.
“Kesan terhadap prosiding hina mahkamah adalah serius dan mahkamah ini akan berhati-hati untuk bertindak berdasarkan andaian semata-mata,” ujar Hakim Alice. – MalaysiaGazette















