Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong.

KUALA LUMPUR – Pemuda MCA menzahirkan solidariti terhadap pelajar dan ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta mempersoalkan tindakan polis memanggil seorang pensyarah kanan universiti itu untuk disoal siasat.

Timbalan Ketua Pemuda MCA, Mike Chong berkata, perkara itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap kebebasan akademik dan kebebasan bersuara di negara ini.

Beliau yang memetik pandangan Persatuan Pelajar Sains Politik (POSSA) berkata, Profesor Madya Syaza Shukri dari Jabatan Sains Politik UIAM telah dipanggil oleh Bukit Aman berhubung pandangan yang disifatkan sebagai berniat baik serta mencerminkan kebebasan akademik dalam kalangan cendekiawan dan menegaskan keperluan UIAM bebas daripada campur tangan politik.

Menurut mereka, persoalan sama ada kenyataan yang menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai “musuh nombor satu” kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak pembangkang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah besar yang mengancam kedaulatan negara juga wajar dipertimbangkan secara rasional.

“Kami turut mempersoalkan tindakan tersebut dengan membandingkan situasi ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi pembangkang yang ketika itu sering melontarkan kritikan dan label terhadap pemimpin Barisan Nasional (BN) tanpa dikenakan tindakan tegas seperti yang didakwa berlaku sekarang.

“Kami juga berpendapat perkembangan terkini ini memberi gambaran seolah-olah wujud usaha untuk menyekat kebebasan bersuara yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini media turut melaporkan beberapa tindakan Kerajaan Madani yang dilihat cuba menutup ruang kritikan terhadap kerajaan.

“Pemuda MCA juga mahu merujuk kepada insiden awal bulan ini apabila laman Facebook pengulas politik Ang Woei Shang disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Beberapa peguam, pengulas politik dan aktivis dilaporkan dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung siasatan terhadap elemen yang didakwa cuba `menjatuhkan kerajaan,” dakwanya.

Tambah beliau, perkara itu dipercayai berkait dengan laporan Bloomberg yang menyentuh dakwaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

“Kami juga ingin tahu sama ada tindakan sedemikian menunjukkan kerajaan `takut pada bayang-bayang sendiri’,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast