Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengumumkan segera secara terperinci hasil siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki setakat ini untuk mengelakkan spekulasi.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, ia termasuk jumlah saham yang dimiliki Azam dan jumlah syarikat-syarikat yang terbabit.

Menurut Ahli Parlimen Pandan berkenaan, walaupun siasatan mengenai tuduhan pemilikan saham Azam telah selesai dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri, sehingga kini tiada maklumat yang telus mengenai hasil siasatan itu didedahkan kepada orang ramai.

Sebaliknya, kata beliau, maklumat-maklumat yang ada hanyalah daripada sidang akhbar Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan tidak menyatakan hasil siasatan yang penuh.

Setakat ini, dakwa beliau, maklumat yang dilaporkan menerusi sidang akhbar itu memberi gambaran bahawa Azam telah melanggar peraturan, justeru perkara tersebut dirujuk kepada Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, jelasnya, kerajaan juga dikatakan tidak akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan mengenai mafia korporat dan persubahatan SPRM, kerana perkara itu akan disiasat secara berasingan oleh agensi-agensi penguatkuasaan sedia ada.

“Akibat tindakan kerajaan yang mahu menyembunyikan hasil siasatan, seolah-olah dengan harapan perkara ini lama kelamaan akan tenggelam, ia menimbulkan pelbagai spekulasi kerana maklumat-maklumat dari Putrajaya akan terus bocor kepada pihak media dan orang ramai,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, maklumat yang bocor tersebut bermula dengan laporan Straits Times dan Bloomberg minggu ini bahawa tempoh perkhidmatan Azam tidak akan disambung.

Selain itu, dakwanya, berita terbaharu dari Putrajaya yang kini sedang berlegar, mengikut sumber-sumber kerajaan, ialah dakwaan mengenai penemuan siasatan ke atas pemilikan saham Azam.

Dakwanya lagi, ia termasuk jumlah saham yang dimiliki berjumlah RM14 juta di dalam sembilan buah syarikat, dengan pembelian saham-saham itu tidak mendapat kelulusan atau diisytiharkan seperti yang sepatutnya.

“Selagi kerajaan tidak mengumumkan hasil siasatan secara telus, termasuklah jumlah saham yang terlibat, jumlah syarikat dan bagaimana pelanggaran berlaku, spekulasi mengenai perkara-perkara ini akan terus bertiup kencang.

“Pada satu ketika, ia juga akan dilaporkan oleh pihak media, seperti mana beberapa pendedahan yang telah dilaporkan setakat ini.

“Rakyat berhak tahu perincian hasil siasatan kerana jika jumlah saham yang ditemui adalah RM14 juta seperti yang didakwa, isu ini tidak wajar ditangani semata-mata sebagai pelanggaran peraturan penjawat awam,” katanya.

Tambah Rafizi, jumlah saham sebanyak RM14 juta mengundang persoalan mengenai punca kekayaan dan pendapatan Azam kerana tidak sepadan dengan pendapatannya sebagai seorang penjawat awam kanan.

Lazimnya, kata beliau, jika seseorang disiasat kerana punca kekayaannya diragui, SPRM akan mengambil tindakan seperti akaun dibekukan; perlu membuat pengisytiharan harta dan didakwa sekiranya gagal mengisytiharkan harta.

“Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam 9 syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Tan Sri Azam Baki akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Tan Sri Azam Baki,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast