TEMERLOH – Hasrat seorang lelaki warga emas pulang ke rumah selepas selesai pemeriksaan kesihatan di sebuah klinik kesihatan tak kesampaian apabila kereta dinaikinya terbabit kemalangan dengan sebuah bas ekspres semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata, kejadian itu berlaku di kilometer 95 Jalan Lipis-Merapoh, Lipis kira-kira 1.30 petang.
“Hasil siasatan awal polis mendapati warga emas berusia 66 tahun itu menaiki sebuah Perodua Kancil bersama anaknya bergerak dari arah Kuala Lipis menuju ke rumahnya di Kampung Mentara Lama, Gua Musang, Kelantan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Manakala pemandu bas pula merupakan seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun dalam perjalanan dari Kota Bahru, Kelantan menuju ke Klang, Selangor dengan membawa 15 orang penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun apabila tiba di lokasi kejadian, ketika bas ekspres itu sedang bergerak lurus, kereta Perodua Kancil terbabit keluar dari simpang sebelah kiri secara tiba-tiba mengakibatkan pemandu bas ekspres cuba berhenti dan mengelak ke bahagian kanan jalan lalu terlanggar kereta itu.
Akibat kemalangan itu, Safien Ab Rahman, 65 yang merupakan pemandu kereta Perodua Kancil telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya mengalami kecederaan dan telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk menerima rawatan lanjut.
Ismail berkata, pemandu bas ekspres berserta kesemua penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Beliau turut memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan atau mempunyai maklumat lanjut berhubung kejadian itu agar tampil untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















