KUALA LUMPUR – Peranan media bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada masyarakat malah rakan strategik kepada pihak berkuasa mendepani cabaran landskap jenayah masa kini yang semakin kompleks.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar mengakui, evolusi jenayah kini beralih daripada fizikal kepada digital selain membabitkan rangkaian rentas sempadan serta lebih terancang.
“Dalam konteks ini, media memainkan peranan penting bukan sahaja menyampaikan maklumat kepada masyarakat malah turut membentuk persepsi awam serta tahap keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasaan khususnya JSJ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Iftar JSJ bersama media daripada Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman semalam.

Tambah Kumar, pengamal media juga diingatkan pemilihan waktu dalam melaporkan sesuatu kes jenayah adalah penting bagi memastikan ketenteraman atau keselamatan awam sentiasa terjamin.
Beliau akur bahawa pengamal media mempunyai tanggungjawab besar yang perlu dipikul dalam menyampaikan maklumat namun obligasi moral dan undang-undang perlu diutamakan bagi memastikan siasatan tidak terjejas.
“Saya tidak mengatakan (maklumat) perlu olah atau disembunyikan, tidak. Kita perlu menyampaikan perkara yang benar sudah berlaku tetapi penggunaan ayat dan masa (penyiaran) juga penting sebab kita bersama mendukung satu misi.
“Namun cara kita adalah berbeza, media menggunakan pena manakala kami menggunakan undang-undang dan elemen sedia ada untuk memastikan keselamatan serta keharmonian sejagat sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Kumar turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen dan profesionalisme pengamal media dalam melaporkan isu jenayah secara berfakta dan bertanggungjawab.
Katanya, laporan media turut membantu PDRM meningkatkan kesedaran masyarakat, menyalurkan maklumat penting serta menyokong usaha pencegahan jenayah.
“Namun menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan setiap laporan berkaitan kes jenayah disampaikan dengan penuh ketelitian dan integriti.
“Sebarang spekulasi, penyiaran maklumat yang belum disahkan atau pendedahan yang boleh menjejaskan siasatan boleh memberi implikasi besar terhadap proses keadilan dan keselamatan masyarakat,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















