Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi Abdul Rahman mengajar seorang penghuni RKKSHK cara akad zakat fitrah .

KUANTAN – Seramai 70 orang penghuni Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHK), di sini teruja dapat pengalaman pertama kali menunaikan zakat fitrah pada tahun ini.

Salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Yusuf, 12, mengakui sedikit berdebar ketika duduk berhadapan dengan amil dan melafaz akad selepas menyerahkan wang tunai RM8 namun teruja dapat mempelajari cara-cara tunaikan zakat.

“Ada rasa takut masa pertama kali bayar zakat tapi saya faham kenapa kita perlu bayar zakat dan sekarang saya dah rasa sendiri pengalamannya.

“Saya rasa bangga sebab sudah boleh tunai zakat sendiri. Kawan-kawan semua ayah bayarkan,” katanya ketika ditemui selepas program Jom Bayar Zakat Fitrah di sini hari ini.

Yusuf

Program itu disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi Abdul Rahman bersama empat orang amil bagi membantu mengajar anak-anak penghuni RKKSHK cara untuk menunaikan rukun Islam keempat itu.

Seorang lagi penghuni yang dikenali sebagai Anis, 18, pula memberitahu, ilmu yang diperoleh menerusi program ini akan dimanfaatkan sepenuhnya apabila dia keluar daripada rumah kebajikan ini nanti.

“Ini pertama kali bayar zakat sendiri. Tahun lepas ada program bayar zakat, tapi kami cuma tengok sahaja cikgu-cikgu, ibu-ibu penjaga yang buat.

“Pengalaman yang berharga sebab boleh dijadikan ilmu apabila di luar nanti. Kalau kawan-kawan saya tak tahu ilmu ini, saya boleh ajarkan pula,” katanya.

Anis

Sementara itu, Dr. Asmadi berkata, program hari ini menekankan aspek kesedaran mengenai kewajipan membayar zakat dalam kalangan penghuni RKKSHK  yang terdiri daripada mereka yang mempunyai waris dan waris yang tidak dapat dikesan.

Beliau menjelaskan, mereka mempunyai pendapatan harian menerusi peruntukan daripada kerajaan dan pihak-pihak tertentu, justeru mereka boleh menunaikan zakat fitrah sendiri seawal usia sembilan tahun.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi), Dr. Asmadi Abdul Rahman

“Jadi, kita minta anak-anak di sini kumpulkan duit sebanyak RM8 dan mereka diminta untuk membayar zakat fitrah sendiri.

“Penting bagi kita memberi pendedahan kepada anak-anak ini sebab suatu hari nanti apabila mereka berusia lebih 18 tahun dan perlu keluar daripada sini, mereka akan mempunyai kesedaran bahawa setiap bulan Ramadan kita kena keluarkan zakat fitrah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast