Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bercakap pada sidang media selepas mesyuarat Perikatan Nasional di Ibu Pejabat Parti Gerakan, Menara PGRM, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAl, 14 MAC 2026.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akhirnya membuat keputusan penting mengenai jawatan Ketua Pembangkang apabila bersetuju menyerahkan posisi itu kepada wakil daripada Pas.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu telah memutuskan  jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia akan dipegang oleh seorang ahli Parlimen daripada Pas.

Bagaimanapun nama individu yang bakal mengisi jawatan tersebut hanya akan diumumkan sebelum penghujung bulan ini selepas beberapa proses dalaman parti dimuktamadkan.

“Nama-namanya akan diumumkan sebelum akhir bulan ini setelah beberapa proses dalaman parti dilaksanakan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Gerakan hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau serta Presiden MIPP, Punithan Paramsiven.

Ditanya sama ada beliau sendiri atau Takiyuddin bakal dipilih mengisi jawatan berkenaan, Ahmad Samsuri sekadar memberi jawapan bersahaja sambil ketawa.

“Itu nanti kita tunggu sampai waktu dan ketika akan diumumkan,” katanya.

Beliau menambah, terdapat satu lagi proses dalaman yang perlu diselesaikan oleh gabungan pembangkang itu sebelum keputusan rasmi mengenai Ketua Pembangkang dimuktamadkan.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, Pas akan mempertimbangkan calon untuk kerusi tersebut bagaimanapun tidak termaktub kepada keputusan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Kita akan mempertimbangkan pandangan ahli-ahli Parlimen pembangkang tapi tidak termaktub. Kita boleh adakan sesi libat urus, perbincangan untuk supaya kita ada konsensus dalam penentuan yang berkenaan,” katanya dalam sidang media sama.

Status Ketua Pembangkang kini menjadi tumpuan selepas penyandangnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Februari lalu susulan krisis dalaman parti serta dakwaan mencabar presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Mesyuarat PN pada 19 Februari lalu telah memutuskan Pas akan mengambil alih jawatan tersebut namun Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan pihaknya masih belum menerima pemakluman rasmi mengenainya.

Untuk rekod, Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2022 selepas pembentukan kerajaan perpaduan, hasil cadangan Pas meskipun ketika itu Muhyiddin memegang jawatan Pengerusi PN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast