KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru perbincangan mengenai subsidi bahan api dilihat dalam kerangka yang lebih luas dan strategik susulan konflik di Asia Barat ketika ini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, dalam keadaan dunia yang semakin tidak stabil, dasar yang melindungi kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negara mesti terus menjadi keutamaan.
Dalam masa sama, menurutnya, negara juga perlu memperkukuh strategi jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada turun naik harga minyak dunia.
Ujarnya, ia boleh dilakukan melalui peningkatan kecekapan tenaga, pembangunan sumber tenaga alternatif dan pengukuhan sistem pengangkutan awam.
Jelas beliau, apabila harga minyak dunia meningkat, kos sebenar bahan api dalam negara turut meningkat dan kerajaan perlu menanggung subsidi yang besar bagi memastikan rakyat tidak menanggung sepenuhnya kesan kenaikan tersebut.
“Bagi tahun ini, perbelanjaan subsidi bahan api negara dianggarkan melebihi AS$2 bilion sebulan, bersamaan sekitar AS$24 bilion setahun, sekiranya harga minyak dunia kekal tinggi atau terus meningkat akibat konflik geopolitik yang berpanjangan.
“Jumlah ini menunjukkan komitmen besar kerajaan dalam memastikan harga bahan api domestik kekal stabil bagi melindungi rakyat daripada kejutan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tambah beliau, tanpa subsidi tenaga, kenaikan harga minyak dunia akan memberi kesan rantaian kepada seluruh ekonomi negara.
Jelasnya, kos pengangkutan meningkat, harga makanan dan barangan asas melonjak, kos operasi industri bertambah dan tekanan inflasi akan dirasai oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Dalam konteks ini, subsidi tenaga berfungsi sebagai penampan ekonomi negara yang melindungi rakyat daripada ketidaktentuan pasaran tenaga dunia,” ujarnya.
Tambahnya, rakyat perlu memahami bahawa harga minyak dalam negara tidak ditentukan sepenuhnya oleh faktor domestik.
Sebaliknya, jelas beliau, ia dipengaruhi oleh konflik geopolitik global, keputusan pengeluaran negara pengeluar minyak, sekatan ekonomi antarabangsa serta ketegangan ketenteraan yang boleh menjejaskan bekalan tenaga dunia.
“Perkembangan perang di Asia Barat hari ini menunjukkan bahawa kestabilan pasaran tenaga global semakin rapuh.
“Setiap konflik di rantau tersebut boleh memberi kesan besar kepada harga minyak dunia dan akhirnya memberi tekanan kepada ekonomi negara negara lain termasuk Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette















