Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR –  Malaysia berpotensi mencatat keuntungan pertukaran asing sekitar RM1.6 bilion daripada penerbitan bon Samurai bernilai 200 bilion yen (RM7.2 bilion) pada tahun 2019 berikutan penyusutan nilai yen berbanding ringgit.

Penasihat DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, keuntungan itu masih boleh dicapai walaupun selepas mengambil kira keseluruhan bayaran faedah sepanjang tempoh bon tersebut.

Beliau berkata, perkara itu berdasarkan jawapan bertulis Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap soalan beliau di Parlimen pada 2 Mac lalu.

Menurut Guan Eng, bon Samurai berjumlah 200 bilion yen atau kira-kira RM7.2 bilion itu diterbitkan pada Mac 2019 dengan kadar kupon 0.53 peratus setahun.

“Pada ketika itu kadar pertukaran adalah sekitar RM3.62 bagi setiap 100 yen, namun menjelang akhir Disember 2025 nilai yen telah menyusut kepada RM2.59 bagi setiap 100 yen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan menjelaskan, bayaran faedah bagi bon berkenaan dibuat dua kali setahun iaitu pada Mac dan September sepanjang tempoh matang 10 tahun yang akan berakhir pada 2029.

Jelasnya, setakat ini sahaja sebanyak RM239.7 juta faedah telah dibayar bagi tempoh enam tahun dari 2019 hingga 2025.

“Berdasarkan kadar pertukaran semasa, jumlah keseluruhan bayaran faedah dijangka mencecah kira-kira RM400 juta apabila bon tersebut matang pada 2029,” ujarnya.

Jelas Guan Eng, penyusutan nilai yen yang ketara telah menyebabkan nilai prinsipal bon tersebut dalam ringgit turut berkurangan.

“Nilai prinsipal yang pada asalnya sekitar RM7.2 bilion kini dianggarkan kira-kira RM5.2 bilion, berikutan penyusutan nilai yen sebanyak 27.8 peratus sejak Mac 2019,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu bermakna Malaysia berpotensi merekodkan keuntungan pertukaran asing sekitar RM2 bilion berdasarkan kadar pertukaran semasa.

“Selepas mengambil kira keseluruhan bayaran faedah sekitar RM400 juta, negara masih berpotensi mencatat keuntungan bersih kira-kira RM1.6 bilion daripada penerbitan bon Samurai tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast