Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), pengeluar gula bertapis berjenama “Gula Prai”, kembali mencatat keuntungan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (S2 2026), dengan merekodkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM35 juta berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM23 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

Hasil bagi S2 2026 menurun kepada RM608 juta daripada RM813 juta pada S2 2025, terutamanya disebabkan oleh harga jualan purata dan jumlah jualan yang lebih rendah.

MSM turut mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM23 juta berbanding kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM30 juta pada S2 2025.

Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026 (1H 2026), MSM mencatatkan PBT sebanyak RM23 juta, berbanding LBT sebanyak RM15 juta pada 1H 2025 dan merekodkan PAT sebanyak RM5 juta berbanding LAT sebanyak RM26 juta pada 1H 2025.

“Prestasi yang bertambah baik ini didorong terutamanya oleh peningkatan margin serta pengurangan perbelanjaan operasi lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah hasil MM bagi 1H 2026 adalah sebanyak RM1.16 bilion berbanding RM1.56 bilion bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh purata harga jualan (ASP) dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Walaupun hasil menurun, margin keuntungan kasar bertambah baik tahun ke tahun, disokong oleh gabungan jualan yang lebih menguntungkan dengan memberi tumpuan kepada produk bermargin lebih tinggi, sekali gus membantu mengurangkan kesan daripada ASP yang lebih rendah.

Dari segi operasi, MSM terus melaksanakan pendekatan pengeluaran mengikut permintaan dengan menyelaraskan pengeluaran berdasarkan permintaan pasaran serta pertimbangan margin.

Sehubungan itu, faktor penggunaan kapasiti MSM berada pada 39% bagi 1H 2026 berbanding 48% bagi 1H 2025. Kumpulan turut mendapat manfaat daripada harga gula mentah yang lebih rendah, pergerakan kadar pertukaran asing yang menggalakkan serta kos pengangkutan yang lebih rendah.

Mengulas mengenai prestasi Kumpulan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Dr. Aini Shahar, berkata, walaupun kembali mencatat keuntungan pada S2 2026 merupakan satu perkembangan yang positif, hasil dan kadar penggunaan kapasiti masih berada di bawah paras tempoh yang sama tahun sebelumnya, manakala persekitaran operasi terus mencabar.

“Kami telah memberi keutamaan kepada jualan bermargin lebih tinggi, menyelaraskan pengeluaran dengan permintaan serta mengekalkan disiplin kos yang ketat. Fokus utama kami dalam masa terdekat adalah untuk melindungi margin dan mengekalkan keuntungan,” katanya.

MSM berkata, melangkah ke hadapan, industri gula dijangka terus berdepan cabaran bagi baki tahun 2026, dengan tekanan kos yang berterusan serta persaingan daripada gula import dalam pasaran domestik yang memberi tekanan kepada margin.

Jelasnya, syarikat akan terus bekerjasama dengan kerajaan dalam memuktamadkan rangka kerja penetapan harga yang mampan bagi memastikan keselamatan makanan negara terus terpelihara, di samping menyokong kelangsungan industri gula domestik dalam jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here